Undian tertinggi dan kedua tertinggi bakal memenangi hadiah yang telah disediakan! Klik sini untuk melihat hadiah. ~Pastikan klik LIKE sekali sahaja pada satu entri~

Makluman

Sebagaimana sedia maklum tarikh tutup telah ditunda sehingga 14 Jun 2011.
Jadi, tarikh untuk pengundian bakal bermula pada 18 Jun 2011 sehingga 2 Julai 2011.
Kenyataan semula bahawa pengundian karya tertinggi dan kedua tertinggi dari pihak pembaca adalah atas usaha anda sendiri mempromosikan tempoh pengundian ini.
Hanya dengan klik LIKE sekali sahaja pada satu karya bagi satu individu.
Kliklah sebanyak mana entri yang anda berkenan.
Sekian, harap maklum.
-Admin-

Sunday, March 27, 2011

Aku Seorang Guru

Peserta kelima: Norazah binti Abdullah.
Tema: Generasi Masa Hadapan



Pejam celik pejam celik sudah hampir 4 tahun lebih saya telah berjaya memegang status sebagai seorang guru. Walaupun suatu ketika dulu, kerjaya guru ini merupakan pilihan saya yang kedua, tetapi ternyata saya telah jatuh cinta sentuhan pertama sebaik sahaja saya melibatkan diri dalam bidang ini. Azam saya cuma satu, untuk membantu membentuk generasi muda yang gemilang, terbilang dan berbilang-bilang hebatnya. 

Tapi mendidik anak-anak muda sekarang tak sama seperti di zaman kita dulu. Anak-anak sekarang adalah anak-anak cyber. Semua di hujung jari. Apa yang mereka kehendaki, semua boleh dapat. Petik jari jer, everything at fingertips.

Teringat masa zaman kanak-kanak dulu, kalau cikgu bagi kerja sekolah, kami akan sedaya upaya akan buat sebab takut cikgu marah! Takut cikgu denda !
Tapi anak-anak cyber sekarang bila tak siapkan kerja sekolah, relaks sahaja, Tiada perasaan takut pada cikgu. Bila ditanya kenapa tak siapkan kerja rumah,  alasan mudah diberikan.
" Saya tak sempat buat la cikgu "
"Saya terlupa cikgu"


Bila cikgu denda, mereka akan marah. Riak muka yang agak kurang ajar. Tapi cikgu nak pukul pun tak berani sebab kalau salah pukul, cikgu pula yang keluar surat khabar muka hadapan. Dituduh mendera pelajar sendiri. Belum lagi kisah guru diserang oleh ibu bapa pelajar terbabit. Silap-silap haribulan cikgu kena simbah dengan asid! Kalau zaman kita dulu, pelajar-pelajar terlalu hormatkan guru. Bukan setakat pelajar-pelajar tetapi ibubapa pun memandang mulia kerjaya seorang guru ! Kalau ada anak-anak mereka mengadu dimarah oleh guru, nescaya anak-anak yang kena pukul oleh mak ayah. Betapa tingginya martabat seorang guru suatu masa dahulu.


Pernah suatu hari, terdapat beberapa orang pelajar saya datang lewat ke kelas. Bukan lewat 10 minit tapi setengah jam. Saya memang pantang kalau pelajar datang lewat, sebab saya sendiri akan masuk tepat pada masanya kecuali kalau saya adahal kecemasan.
Guru : " Kenapa awak datang lambat"
Pelajar :" Kami bangun lambat cikgu"
Guru : " Bangun lambat ? Pukul berapa?"
Pelajar : " 8.30 pagi "
Guru :" Awak sembahyang subuh ke tak?"
Pelajar:" Tidak"


Terdiam saya mendengar! Tanpa ada sedikit pun perasaan malu, mereka kata tak sembahyang subuh di depan saya dan semua pelajar-pelajar lain. Macammana mereka nak datang kelas saya awal padahal kewajipan dengan Allah pun mereka abaikan.
Saya tanya semua pelajar dalam kelas siapa yang tak sembahyang subuh pagi tadi?
Tahu tak apa jawapan mereka ?
Dari 22 orang pelajar saya, 21 orang angkat tangan, tak sembahyang subuh !
Cuma seorang sahaja yang sembahyang subuh!
Tengoklah generasi zaman sekarang. Solat dipandang ringan. Inilah generasi muda zaman sekarang. Dan untuk pengetahuan semua 21 orang dari 22 orang pelajar saya adalah semua LELAKI. Lelaki yang bakal menjadi pemimpin. Mungkin pemimpin negara atau kalau bukan pemimpin negara, pasti mereka akan jadi pemimpin keluarga.


Itu baru pelajar lelaki, belum lagi pelajar wanita. Kalau di mana-mana institusi, pelajar perempuan jarang mendatangkan masalah disiplin. Acapkali pelajar perempuan akan datang ke kelas awal. Malah setiap tugasan atau assignment yang diberikan pasti disiapkan tepat pada masanya dan hasilnya sangat tip-top. Tetapi bukan bermaksud mereka tidak pernah buat hal ! Mereka diam-diam berisi.


 Pernah suatu masa dulu, Institusi kami mengadakan lawatan sambil belajar ke Stesen Janakuasa Elektrik di Paka, Terengganu. Sehari sebelum lawatan, kami telah mengadakan perjumpaan bersama-sama pelajar untuk memberikan taklimat ringkas mengenai lawatan tersebut. Ketika sesi taklimat berlangsung, tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan mengangkat tangan.
" Puan, saya ada soalan nak tanya?"
" Ye, apa soalan awak?" tanya sahabat saya
"Esok saya taknak pakai tudung! Boleh tak?" tanya pelajar tersebut.
Sahabat saya yang agak terkejut dengan pertanyaan pelajar tersebut terus menjawab
" Awak ingat awak Siti Nurhaliza ke, tak nak pakai tudung! Awak ingat kat Kolej saja ke yang ada Tuhan ! Semua wajib pakai tudung", tegas sahabat saya.
Saya lihat muka pelajar tersebut seperti tidak puas hati.  Kami guru-guru semua geleng kepala. Budak-budak akhir zaman ni pakai tudung disebabkan peraturan kolej. Kolej mewajibkan semua pelajar Muslim memakai  tudung. Tiada yang berkecuali ! Kalau tak wajib, saya jamin majoriti tak pakai tudung.


Teringat satu kisah yang ingin saya kongsikan bersama dengan semua pembaca mengenai pelajar kami. Kisah ni berlaku pada bulan ramadhan tahun lepas bersamaan Hari Jumaat. Cumanya saya tak ingat berapa haribulan. Tapi yang pastinya bulan Ramadhan dan hari Jumaat. Kami mendapat aduan dari seorang pelajar lelaki yang mengatakan ada seorang pelajar perempuan masuk ke dalam rumah mereka dan tidur di bilik salah seorang rakan mereka. Bukan baru masuk beberapa jam, tapi sudah semalaman! Jadi, beberapa orang guru lelaki telah pergi menerjah ke rumah tersebut! Apa yang mereka nampak ? Pasangan lelaki dan perempuan a.k.a belangkas tersebut berada dalam satu selimut di waktu tengahari ! Yang paling menyedihkan mereka melakukan maksiat pada bulan Ramadhan ! Bulan suci. Bulan yang dinantikan oleh orang-orang beriman. Bulan mulia, bulan yang Allah turunkan rahmat dan semua syaitan diikat. Bukan itu sahaja, mereka melakukan maksiat pada hari jumaat. Hari Jumat, penghulu segala hari. Hari Nabi Adam dijadikan.! Kami hubungi mak ayah keluarga pelajar perempuan dan lelaki tersebut. Tapi apa yang menyedihkan kami, ibu pelajar perempuan tersebut seperti endah tidak endah. Dan dia meminta kami untuk melepaskan anaknya dan memohon agar kami tidak membawa kes ini ke peringkat yang lebih atas iaitu JAINS. Dengan selamba dia kata anak dia selalu ditangkap kerana terlibat dalam kes-kes seperti itu. Kami cuma terdiam. Kalau macam ni generasi muda sekarang, apa akan jadi pada pemimpin kita pada masa akan datang.  Mungkin ini lah yang dikatakan sebagai umat akhir zaman. Macammana kita hendak membentuk generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang kalau sekiranya ibubapa pun tidak memberi kerjasama yang sepatutnya. Dan sebagai guru kami sangat kecewa dengan tindakan ibupada pelajar terbabit dan yang paling menyedihkan, beliau menyalahkan kami. Katanya  kami yang tanggungjawab. Kami sepatutnya menjaga anak dia. Senangnya ibubapa zaman milenium melepaskan tanggungjawab pada seorang guru. Bukan mudah untuk kami, guru-guru yang hanya beberapa kerat untuk mengawal beratus-ratus pelajar.


Sebagai guru
 kami tidak minta dipuja
kami juga tidak minta untuk dipuji
kami juga tidak minta disanjung-sanjung
yang kami minta hanyalah
supaya anak-anak didik kami berjaya dunia & akhirat
supaya anak-anak didik kami menjadi manusia berguna
supaya anak-anak didik kami ingat pada Allah
supaya anak-anak didik kami menjadi insan yang cemerlang


kejayaan pelajar kami bermakna kejayaan kami !
Baca Selanjutnya "Aku Seorang Guru"

Friday, March 25, 2011

Ingin Jadi Hebat Seperti Ayah

Peserta keempat: Md Khairul Mukhlis bin Jusih
Tema:Kemiskinan/ kesusahan



Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling menyeronokkan dalam hidup ini, tapi lain pula dengan cerita krole~ sejak dari kecil lagi krole telah dididik oleh ayah dan ibu untuk berdikari diatas muka bumi ini yang setiap harinya penuh dengan cubaan dan dugaan daripada yang Maha Esa. Sewaktu zaman kanak-kanak krole, ayah berkerja sebagai pemunggah barang kargo dipelabuhan kota kinabalu membuatkan ayah jarang ada dirumah. Kadang-kadang dalam seminggu ayah hanya dapat balik sehari sahaja dan kemudian terpaksa pergi ke kota kinabalu untuk mencari rezeki. Waktu itu gaji ayah hanya Rm200 sahaja sebulan, walaupun tidak banyak tapi alhamdulillah lepas juga untuk membeli makanan kami sekeluarga. Krole selalu menangis bila ayah terpaksa pergi ke kota kinabalu untuk mencari rezeki, tapi ayah selalu berjaya memujuk krole dengan menyatakan bahawa krole anak lelaki maka kena kental jiwa dan raga. Krole amat menyayangi ayah, pernah sekali ayah membawa krole berjalan-jalan ke pasar malam, waktu itu seronok sangat sampai sekarang krole tak boleh lupa mana taknya seronok? bukan selalu dapat keluar dengan ayah kerana ayah selalu sibuk merantau mencari rezeki.

Sewaktu dipasar malam itu, terdapat peristiwa yang amat krole kesali sampai kehari ini... biasalah budak-budak bila dah tengok mainan mesti nak minta beli kan? begitulah yang jadi pada malam itu, krole ternampak sebuah mainan (kereta bomba) yang dijual oleh peniaga dipasar malam tersebut, krole pun apa lagi terus menarik tangan ayah dan meminta ayah belikan mainan tersebut. Tapi ayah tidak menurut permintaan krole waktu itu dengan menyatakan bahawa mainan tersebut tidak tahan dan tak cantik, terus menangis krole... korang bayangkanlah budak kecil menangis, hah!!! macam itulah krole waktu itu, tetapi seperti biasa ayah berjaya memujuk krole dengan mengatakan bahawa dibandar (kota kinabalu) ada lagi mainan yang lagi cantik dan menarik dan ayah menjanjikan untuk membelikan sebuah untuk krole yang sampai sekarang ini ayah tak beli pun, rupa-rupanya waktu itu ayah memang tak mampu untuk membelikan mainan tersebut, maafkan krole ayah. Kalaulah krole tahu waktu itu takkan sekali krole minta beli mainan tersebut, namun ayah tetap bersabar dengan karenah krole. Sekali lagi maafkan krole ayah~

Alhamdulillah, disebabkan nekad ayah ingin merubah nasib keluarga ayah menyambungkan pelajarannya diSekolah Menengah Toh Puan Hajah Rahmah diKota Kinabalu dan alhamdulillah ayah lulus dengan cemerlang, sewaktu ayah menyambungkan pelajarannya krole sudah memasuki sekolah tadika yang terletak dikampung krole sendiri. Sewaktu ayah menyambungkan pelajarannya ayah berkerja sambilan dikedai-kedai runcit yang terletak berhampiran dengan sekolahnya iaitu kawasan sembulan. Krole sayang ayah walaupun sibuk dengan pelajarannya namun keluarga tak pernah sekali dilupakannya. Bagi mengurangkan beban ayah, ibu berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual stokin dan pakaian kanak-kanak dipasar raya atau lebih dikenali sebagai tamu, rutin krole dengan adik beradik krole pada hari sabtu dan ahad adalah membantu ibu menjual dipasar tani, kadang-kadang itu terasa cemburu sangat melihat kanak-kanak lain yang gembira berjalan dengan kedua ibu bapa mereka namun krole sentiasa berpegang kepada nasihat ayah, berusahalah bersungguh-sungguh insyallah kebahagian akan menanti dimasa hadapan. Terima kasih ayah dan ibu, krole hargai sangat dengan pengorbanan anda.

Dipendekkan cerita selepas tamat pengajian ayah berkerja sebagai ustaz kafa dikampung kami, dan tidak lama selepas itu ayah dapat menyambungkan pelajaran dimaktab perguruan dan lulus dengan cemerlang. Kemudian ayah berjaya mendapat jawatan sebagai ustaz disekolah agama pekan beaufort. Setelah lama berkhidmat ayah dinaikkan pangkat menjadi guru besar disekolah tersebut dan tidak lama selepas itu ayah dinaikkan pangkat lagi menjadi penyelia JHAEINS (jabatan hal ehwal islam negeri sabah),dan mungkin diatas pengalaman ayah merantau dahulu ayah berjaya membuka sebuah syarikat kontraktor yang dijaga oleh abang sulung krole sampai kehari ini, manakala ibu pula sekarang ini masih lagi berniaga, hihihi... mungkin ibu terlampau minat dalam bidang ini dan alhamdulillah sekarang ibu berjaya membuka cawangan/kedai menjual barangan-barangan untuk menunaikan haji, boleh kata macam-macam ada! dan yang seronoknya perniagaan ibu ada kerja sama dengan tabung haji, maka dapat pendapatan lebih!. Alhamdulillah walaupun tak mewah tapi atas rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T keluarga dapat hidup dalam keadaan yang sederhana sekarang alhamdulillah~ Maafkan krole kerana meringkaskan cerita ini, terlampau banyak krole tak cerita lagi, tapi krole rasa dengan cerita diatas kita boleh mengambil ikhtibar ya~ "berusahalah bersungguh-sungguh dalam tiap apa yang anda buat, walau apa sekalipun orang kata jangan mengalah, kerana rezeki bukan datang dari mereka ianya datang daripadaNya". Insyallah~amin.
Baca Selanjutnya "Ingin Jadi Hebat Seperti Ayah"

Monday, March 21, 2011

Teman Saya Muallaf

Peserta Ketiga: Nurul Farhana Jualis
Tema: Kisah Saudara Baru/Muallaf


Teman Saya Muallaf


Pertama kali bertemu dan berkenalan dengan sahabat saya, saya rasa sangat pelik sebab namanya begitu unik.. Celenrence Binti bandari. Apa yang anda akan fikir mengenai namanya itu? Dia seorang muslimah dan bertudung labuh menutup dada.. tapi kenapa pelik semacam namanya tu kan?


Risik punya risik rupanya muallaf.. tapi kasihan juga sebab bibi (panggilan manja) tidak dapat tukar namanya itu di JPN. Saya tidak pasti di mana silapnya sebab menurut bibi adik-beradiknya yang lain boleh menukar nama Islam mereka di dalam kad pengenalan. Akibatnya bibi masih menggunakan nama kristiannya sehingga kini untuk pelbagai urusan..


Sebetulnya sebelum ini mereka sekeluarga adalah penganut agama kristian.. tapi semasa dia berumur 9 tahun, mereka berjaya memeluk agama Islam. Berkat ajakan dari pakcik katanya. Boleh dikatakan pada waktu itu keluarga bibi antara yang terawal masuk Islam, keluarganya yang lain masih juga dengan agama asal. Bahkan apabila tiba hari raya aidilfitri, mereka sambut sesama mereka sahaja. Tidak ada ziarah ke rumah lain sebab perbezaan agama itu. Malahan katanya, dia berpengalaman masuk ke gereja dan mengikuti majlis yang diadakan di dalamnya ketika masih kristian.


Tapi kini, apabila tiba hari raya bibi kata orang-orang kampungnya yang beragama kristian akan datang ke rumah mereka pula. Elok juga macam tu kan, erat silaturrahim. Sehingga kini, bibi sudah berusia 23 tahun alhamdulillah menjadi seorang muslimah yang baik dan berjaya melanjutkan pengajian dan menempatkan diri di Fakulti Kontemporari Islam UniSZA.


Okey, itu kisah teman saya bibi. Ini pula kisah teman saya si suel.. hehe. Ndapa bah kan suel aku tulis kisah kau sikit sini..:)...

Tapi suel saya bukan muallaf.. jangan silap faham pula. Yang muallaf adalah mak dan ayahnya.. menurut suel, sebelum berkahwin ayah dan maknya adalah beragama kristian. Tapi apabila mahu berkahwin, mereka sama-sama memeluk agama Islam dan hasilnya adik-beradik suel semua adalah Islam. Unik kan, biasa salah seorang sahaja yang memeluk Islam tapi yang ini kedua-duanya.


Namun bukan itu isunya.. semasa ke majlis perkahwinan kakaknya tempoh hari bersama Ustaz Aziz (penyelia LI), ustaz menyuarakan kekagumannya. Beliau kata, 'bagus kan, mak dan ayahnya asal dari agama lain tapi berjaya didik anak belajar dalam bidang agama sehingga bakal menjadi ustazah. Sedangkan yang lahir dari ibu bapa muslim, belum tentu anaknya menjadi begitu'..(suel, ini harus jadi sumber inspirasimu.. hehe). Sabda Rasulullah SAW:


‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا‏ ‏جَدْعَاءَ


“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Memang betul apa yang ustaz katakan.. kalau kita lihat, golongan muallaf ini kadang lebih 'muslim' berbanding yang memang muslim. Di mana silap kita? Malah lebih menyedihkan apabila orang Islam sendiri ada yang tidak solat dan tidak tahu membaca al-Quran.. astaghfirullah al- azim. Berdasarkan kisah ini dan kisah-kisah sekeliling kita, bersamalah kita ambil iktibar dan berusaha membaiki diri. Aggaplah ini sebagai cabaran buat kita. Kita semua adalah da'ie kan, insyaAllah.


Apa pun, saya datangkan kisah teman-teman saya bukan untuk mengaibkan mereka atau dengan niat buruk. Tapi untuk dijadikan pengajaran.. tidak seronok rasanya kalau sekadar cerita yang direka-reka. Syukran jazilan kepada bibi sebab izinkan kisahnya saya kongsikan walaupun sedikit cuma.. :)
Baca Selanjutnya "Teman Saya Muallaf"

Sunday, March 20, 2011

Satu Pengorbanan

Peserta Kedua: Nur Azwa Mohd Saini
Tema: Ujian dan Dugaan

Satu Pengorbanan
Aku bukanlah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan setiap semester sewaktu pengajian diploma pun tidaklah memberangsangkan. Namun aku tetap meneruskan pengajian sehingga tamat kerana tidak mahu mengecewakan harapan ibu ayah.
Tamat sahaja pengajian di UiTM pada tahun 2001, aku melangkah ke alam pekerjaan. Tanpa latihan asas, dikelilingi orang yang lebih dewasa dan pelbagai ragam, majikan yang cerewet serta tugasan yang banyak menyebabkan aku mula rasa tertekan. Aku mula memikirkan apa sebenarnya yang aku inginkan. Aku mula merasa ingin menyambung semula pelajaran untuk menebus kekurangan lalu tetapi dalam masa yang sama turut bekerja.
Aku mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda pada hujung tahun 2004 secara luar kampus. Segala perbelanjaan pengajian aku tanggung sendiri dengan menggunakan gaji yang aku perolehi. Aku tidak mahu menyusahkan ibu ayah yang telah menanggungku selama ini.
Bermulalah kehidupanku sebagai pekerja dan pelajar. Siang bekerja dan malam menghadiri kuliah. Menaiki LRT dari Ampang menuju ke tempat kerja di Bukit Jalil dan kemudian menuju ke UiTM Shah Alam. Waktu bekerja dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang diawalkan dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk mengejar kelas yang bermula jam 6.30 petang. Tapi biasanya aku tiba di kelas selepas maghrib kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas. Jika bas penuh aku terpaksa berebut-rebut, berhimpit dan berdiri sepanjang perjalanan lebih satu jam.
Kelas tamat jam 9.30 malam dan aku berkejar pula mendapatkan bas ke Kuala Lumpur sebelum menaiki bas atau LRT pulang ke Ampang. Bas akhir dari Shah Alam ialah pada jam 10.30 malam. Oleh itu, aku akan pastikan yang aku mendapat bas selewat-lewatnya jam 10.00 malam. Kadangkala aku menaiki komuter atau menumpang kawan sekuliah yang sama perjalanan. Sekiranya kelas habis awal, awallah aku tapi jika lewat aku akan tiba lewat di rumah. Pernah aku tiba di rumah pada jam 12.30 malam.
Berulang alik dari Ampang – Bukit Jalil – Shah Alam sangat memenatkan. Aku pernah menangis kerana terlalu tertekan dan penat. Penat fizikal dan mental. Ditambah pula dengan tekanan di tempat kerja. Perjalanan sekitar tiga daerah yang berbeza dan jauh ini lebih memenatkan daripada menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Selama 4 tahun aku menjalani rutin tersebut sehingga pernah aku merasa ingin berhenti sahaja. Namun aku cuba bertahan dan tanamkan dalam fikiran yang segalanya akan berakhir juga. Aku bertekad dan berazam untuk tamatkan juga pengajian ini. Apa yang telah aku mulakan perlu diakhiri dengan jayanya. Aku tidak mahu kecundang di tengah jalan. Aku mempunyai rancangan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan ijazah yang akan aku terima nanti. Setidak-tidaknya untuk pencapaian peribadi aku sendiri.
Akhirnya, pada tahun 2009 tamatlah pengajianku dan aku dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Walaupun bukan kelas pertama, namun aku puas. Puas kerana aku mendapat apa yang aku impikan dan sasarkan. Puas kerana pengorbanan dan penat lelah yang kutanggung selama ini membuahkan hasil. Puas kerana aku menggunakan wang sendiri untuk memenuhi impianku. Puas kerana aku dapat menggembirakan ibu ayah dengan kejayaan yang aku perolehi. Puas kerana aku mendapat ilmu pengetahuan dan pengalaman sebagai seorang pekerja dan pelajar dalam waktu yang sama.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Setiap kali terkenangkan saat itu, hatiku pasti rasa sebak dan sedih. Aku tak menyangka yang aku mampu mengharunginya. Aku bersyukur kepada ALLAH yang memberikan aku kekuatan, kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini. Bukan mudah melakukan dua perkara yang berbeza dalam satu masa tapi dek kerana kekuatan yang ALLAH kurniakan itulah membuatkan aku mampu bertahan.
Buat teman-teman, setiap pengorbanan yang kita lakukan tetap akan mendapat ganjaran. Sama ada cepat atau lewat, itu ketentuan-NYA. Bersabar dan tabahlah menghadapi ujian dan cabaran. Usah cepat berputus asa dengan kegagalan lalu. Usah cepat mengalah dengan cabaran dan dugaan yang ditempuh tetapi bangkitlah demi kejayaan diri. Hanya kita…diri kita sendiri yang mampu merubah perjalanan hidup kita.
Baca Selanjutnya "Satu Pengorbanan"

LinkWithin

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP